Monday, May 13, 2013

sesi potong kek

Adik requests nak potong kek dengan kawan². Order kek red velvet dari Kak Yati.

Thursday, May 09, 2013

Happy Birthday Sayang!

Ulang tahun kelahiran Ammar Iskandar yang ke5.


Love u more than words can say! Moga kita sekeluarga dapat berkumpul semula dalam jannah nanti. 

Wednesday, May 01, 2013

Sayang, apa khabar denganmu?

Hari ini genap 2 tahun Abang menjadi penghuni barzakh. Semoga dirimu sentiasa dirahmati Allah. Kami di sini merindukan kamu!
ziarah walid sambil makan donut

Tuesday, April 30, 2013

Hanya Pinjaman

Abang,

Syukur kerana dahulu kita berdua selalu membincangkan, bagaimana nanti kalau² salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah. Apa yang perlu Abang buat jika Adik pergi dulu dan sebaliknya. Malah 2 minggu sebelum pemergianmu juga kita membincangkan hal ini. Ketika itu bukan sahaja hati benci merasanya tetapi fikiran pun dikunci daripada memikirkannya. Ya Allah, benci betul rupanya kita kepada realiti.

Angkuh betul kita dengan pinjaman Allah. Seolah² suami, isteri dan anak² itu benar² kepunyaan kita!

Tidak sanggup kita pulangkan kembali apabila tarikh memulangkannya sudah tiba. Kini, alhamdulillah. Pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara. Aku diserahkan kembali olehmu dan kau diserahkan kembali olehku kepadaNYA. Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah inti pati iman kita kepada satu ayat al-Quran yang sangat pendek. Allah berfirman:
 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ .......
Maksudnya: Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.

(Surah Al Baqarah: Ayat 156)

Masa terus beredar. 2 tahun pemergianmu, Adik masih di sini. Betapa rindu padamu, hanya Allah sahaja yang tahu. Isterimu ini serta anak²mu tidak putus² mendoakan kesejahteraanmu di sana. Semoga dikau aman dan tersenyum bahagia berada dalam salah satu dari taman syurga. Kami akan menyusulmu jua satu masa nanti. Detik itu semakin hampir dan pasti. Nantikan kehadiran kami!


Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah. Berani dan tabahlah demi cinta Allah!

Friday, April 26, 2013

Terpaksa Berpisah

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Apabila cinta telah terputus daripada cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta² yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini keadaannya, pertemuan pun masih perpisahan.

Tapi apabila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan. Allah telah selamatkan kita daripada perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tidak boleh kita cari² atau rancang² kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka.

Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini. Ia menguatkan kembali ikatan perkahwinan kita.

Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu "reaksi berantai" kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata². Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Mahkluk yang terikat dengan kita atas nama suami, isteri, ibu, ayah, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Tegasnya perpisahan ini ialah cara Allah mencantas pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, ayah, dan anak². Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila².


Ketika itu jika hati tidak bersedia, pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup. Dan yang paling dibimbangi adalah terhakis atau tercabutnya iman. 

Bergantunglah kepada Allah kerana hubungan kita denganNYA tidak akan dicelah dengan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan sesama manusia tidak dapat dipisahkan dengan kematian. Justeru itu, anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti.

Thursday, April 25, 2013

Saat Itu Pasti Tiba

Dipetik dari buku Cinta Kerana Allah - Ustaz Pahrol


Saat itu pasti datang
Kita akan berpisah
Maut akan memutuskan 
Aku pergi dulu
Kau ditinggal keseorangan

Detik itu semakin hampir
Nyala cinta ini akan padam jua
Walau teguh walau kukuh
Kau kembali jua
Meninggalkan aku dalam nestapa

Cinta kita hanya cinta makhluk
Tiada yang abadi kecuali Khalik
Hari pamitan itu akan tiba
Hiduplah kita di alam berbeza
Cinta itu tak selamanya bersama

Selamat tinggal sayang
Selamat pulang sayang
Cinta kita inilah sudahnya
Terpisah jua akhirnya
Walau di hati tidak tegar

Akan tiba masa nanti
Kita berdua dibangkitkan kembali
Di mahsyar yang tiada cinta lagi
Yang ada hanya nafsi nafsi
Memikirkan nasib sendiri

Semoga kita berjaya mengharungi
Mizan, sirat, timbangan amalan
Golongan kiri atau golongan kanan
Yang mampu memisahkan
Atau mempertemukan sebuah percintaan

Semoga cinta kita berdua
Hanya untuk mencintaiNya
Terpisah cinta kita sementara cuma
Kita akan bercinta lagi di dalam syurga
Untuk selama-lamanya!

Saturday, April 13, 2013

Family Day TM @ Desa Water Park

Kanak² sangat riang ria bermain air. Sampai taknak balik. Mujurlah ada Mak Tun anak beranak melayan bebudak ni main air. Kalau nak harap umminya... takde nak pergi terjun² kolam bagai... Pada hari kejadian umminya cuma tukang jaga barang, pegi ambil makanan, pegi ambil hadiah (kakak menang pertandingan mewarna tapi tak sempat naik pentas ambil hadiah sebab dah meroyan nak main air), pegi cek nombor cabutan bertuah (tapi tak bertuah pun) dan beramah mesra dengan kawan² yang dah lama tak jumpa.



Friday, April 05, 2013

ayat for today


"Dan barangsiapa membawa kejahatan, maka disungkurkan wajah mereka ke dalam neraka. Kamu tidak diberi balasan, melainkan setimpal dengan apa yang telah kamu kerjakan."

(An Naml: 90)

Thursday, April 04, 2013

Tuesday, March 26, 2013

breakfast di kuburan

Pagi itu saya ajak anak² jogging sebab umminya perlu exercise untuk mantapkan stamina. Chewah! Kalau dah setahun sekali jogging apa yang nak dimantapkan? Huhuhu...

Baru mula beberapa langkah adik dah minta berhenti untuk meneguk air. Tak sampai 300 meter, kakak minta singgah gerai beli makanan. Nak makan dengan walid, dah lama tak makan sama² dengan walid katanya. 
Dari jogging sudahnya jadi santai sambil makan di tepi pusara walid. Apa² jelah.. asalkan kamu bahagia nak..

Tuesday, March 19, 2013

Solat: Mesin Modifikasi Muslim

Petikan dari salah satu bab buku Beduk Diketuk karya Ustaz Pahrol.

Macam mana nak jadi baik?

Jika ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Dan untuk baiki manusia kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati, kita mesti bermula dengan memperbaiki solat.

Abu Hurairah telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang orang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Abu Hurairah bertanya bagaimana keadaan orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri.

Tetapi jika orang itu masih jahat juga setelah mengerjakan solat, bagaimana?

Perbaiki solatnya, bila solat dah baik, insyaAllah orang itu akan jadi baik.

Hardware dan software solat

Bagaimana nak perbaiki solat? Mulakan dengan mencari ilmu tentang kesempurnaan solat, hardware dan softwarenya.

Wah.. solatpun ada software dan hardwarenya?

Hardware solat: rukun fi'li atau perbuatan fizikal seperti berdiri dengan betul, rukuk, sujud dan sebagainya.

Software solat: Rukun qauli, pada makna bacaannya di lidah dan rukun qalbi pada rasa yang bersemi di hati.

Cari makna bacaan al-fatihah. Bukan setakat itu sahaja malah cari tafsirannya. Cari simbolik dari perlakuan rukuk, sujud dan berdiri betul. 

Menghayati rasa hina diri, harap, malu, takut, kagum kepada Allah dalam sujud kita. Itulah roh solat, manakala yang lainnya hanya jasad. Itulah yang membantu khusyuk.

Teringat amaran daripada Imam Al-Ghazali bahawa jika solat dipersembahkan kepada Allah tanpa ada sebarang rasa, sama keadaannya dengan mempersembahkan bangkai yang tidak bernyawa.

Nak Jadi Baik Memang Lambat

Kalau tak khusyuk, semacam tak berguna kita solat. Tapi nak khusyuk, perlulah kita solat dulu. Perlahan² kita tingkatkan mutunya. Nak jadi baik memang lambat. Membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata!

Bagaimana dengan orang yang tidak solat langsung? Kita perlu ajak mereka solat. Punca orang enggan solat ialah apabila dia rasa tidak memerlukan Allah dalam kehidupannya. Dia tidak nampak atau tidak terasa keagungan, kekuatan, kekayaan, keilmuan dan lain² sifat kesempurnaan Allah.

Kenapa jadi begitu?

Orang tidak nampak kebesaran Allah sebab dia tidak terasa kekerdilan dirinya. Sebaliknya dia berasa dirinya atau makhluk² lain lebih besar. Jadi pergantungan, pengharapan dan kekaguman bukan kepada Allah, tetapi kepada tuhan² selainNya.

Wednesday, March 13, 2013

berlapang dada

Slot Celik Mata Reset Minda : Islam Itu Indah bersama Prof Dr Muhaya di ikim.fm
Tajuk pilihan minggu ini: Berlapang Dada.



Hidup ini penuh dengan ujian dan cabaran. Orang 'jernih' akan sebut: situasi, ujian, peluang. Dari 'keladak' jadi orang 'jernih'. Nak jernihkan jiwa dan lapangkan dada. 

Metafor: Bayangkan kita dalam bilik air yang sempit (3x3 kaki) kemudian ada lipas keluar, kita akan takut dan menjerit. Tapi kalau kita berada di zoo yang luasanya (3x3 ekar) kemudian ada harimau kita boleh relax jer tak takut pun. Maknanya bandingkan lipas dan harimau, 2 haiwan yang sangat berbeza. Tetapi sebab kawasan atau situasi kita berada tu satu tanah lapang, satu bilik sempit maka reaksi kita yang menyebabkan kita takut adalah disebabkan berada di bilik kecil. Bilik kecil tu macam dada kita. Lapang dada ke sempit dada? Siapa yang Allah beri taqwa, dia akan lapang dada. Dan bila dada lapang tu kita akan menghadapi apa situasi pun dengan hati yang tenang, tidak merungut, tidak mengeluh, tidak menyalahkan, tidak menyesal, tidak mengumpat. Kita tengok apa pembelajaran yang kita dapat, macam mana situasi ini membuatkan kita  lebih dekat dengan Allah SWT. 

Jaga 2 T- Taubat dan Taqwa - akan dapat 12 rahmat Allah.

Bila kita ubah dunia dalaman kita (fikiran, emosi, akidah) maka dunia luaran kita (hasil kehidupan, kenangan, kebahagiaan, kesihatan, kekayaan) akan berubah.

Kita ni samada dipengaruhi atau mempengaruhi. Samada memberi perhatian atau mencari perhatian. Itu sahaja. Orang yang bijak selalu mengatakan dia melakukan kehidupan. Tetapi orang yang keladak, kehidupan berlaku pada dia. Dia cuma react tapi tak respons.

Kita mesti menjadi guru yang pertama kepada anak². Ibu bermasalah akan melahirkan anak yang bermasalah. Airmata ibu akan mencairkan hati anak². Jangan ingat airmata itu satu kelemahan. Ia adalah satu kekuatan daripada 

Jangan menyesal. Jangan hidup di masa yang lalu. Audit masa kita. Penuhi dengan pencarian ilmu. Di tv dan radio. 

Kalau buat sesuatu dengan istikharah, kita takkan kecewa. Kita mesti yakin dengan jalan yang telah Allah pilih untuk kita. Kita fokus apa yang kita ada. 

Kemuncak hidup kita adalah cara mati kita. 
Saidina Ali: "Kita semua sedang mati. Kita hanya hidup bila kita bangun di kubur nanti."
Death by design. Kita design cara mati kita. Kita nak husnul khatimah ke suu'ul khatimah? Kalau kita ahli maksiat, kita akan mati dalam keadaan maksiat. Kalau nak mati dalam keadaan baik maka tentukan setiap hari setiap masa kita buat benda baik. 

Bila kita ingat mati, kita akan berlapang dada. Kalau hati keras, pergi kubur, hati akan lembut. Bila tengok kubur tu, kenangkan keluarga, anak saudara kita yang dulu riang ria melompat tapi sekarang dah jadi tanah. 

Cari ilmu bukan cari berita. Semoga kita semua dapat husnul khatimah dan berlapang dada. Amin..

Tuesday, March 12, 2013

tenganung kiter!

Baru ni balik TGG. Ziarah mertua dan juga sedare mare.. Sempat bersantai di Pantai Kelulut dan Tok Jembal.
sedikit kenangan di TGG
Next time balik rasa nak pegi pulau pulak laa.. Redang ke Perhentian ke..

Thursday, March 07, 2013

ayuh bangkit!


Ya Allah, kuyakin bahawa taqdirMu lebih baik dari semua yang aku inginkan. Beri aku kekuatan untuk menerima ini sebagai anugerah dariMu...